Wednesday, July 29, 2009

Industri Nasyid di Malaysia 'nazak'?!

Raihan bakal dibubar?
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed



MEREKA punya nama besar, peminat mereka pula melangkaui banyak negara luar namun hakikatnya, kumpulan nasyid popular, Raihan kini dalam keadaan `nyawa-nyawa ikan’ apabila genre nasyid semakin merosot dari segi sambutan. Malah, anggotanya dikatakan hampir berpatah arang berkerat rotan mahu meninggalkan dunia seni.

Apa yang dilihat hanyalah indah khabar daripada rupa. Mereka kini hanya cuba bertahan bagi memenuhi tanggungjawab sosial sebagai umat Islam dalam menyampaikan lagu berunsur dakwah dan nasihat untuk generasi baru supaya tidak alpa dan terjerumus dalam kancah negatif.

Dengan suara perlahan, anggota Raihan, Abu Bakar mengakui: “Kalau ikutkan kumpulan Raihan sudah agak tenat. Kami tidak mempunyai ruang untuk terus berkarya dan memperjuangkan genre nasyid. Bayangkan stesen radio tidak lagi memutarkan lagu nasyid, malah banyak kumpulan nasyid terpaksa `gulung tikar’ selepas tiada ruang lagi.

“Jika tiada ruang, bagaimana kami nak terus berjuang? Tiada gunanya menghasilkan album atau single terbaru jika lagu nasyid tidak diputarkan di stesen radio. Kami sangat memerlukan kerjasama pelbagai pihak terutama radio dan media massa untuk mempromosikan karya kami. Saya akui lagu nasyid kian tenggelam dek kebanjiran lagu komersial, tetapi ada kumpulan nasyid yang masih bertahan dengan usaha yang tidak mengenal erti payah.

“Walaupun sakit, perjuangan tetap diteruskan. Ada ketikanya kami rasa ingin membubarkan Raihan dan mencari kerja tetap, itu lebih menjamin masa depan. Semua anggota Raihan mempunyai tanggungjawab terhadap isteri, anak-anak dan keluarga, jika tiada kerja bagaimana mahu meneruskan hidup?

“Walaupun masih menerima undangan persembahan, tetapi tidaklah selebat dulu. Raihan dianggap nama besar tetapi kami tidak kisah menyanyi di majlis kenduri kahwin, sekolah atau institusi pengajian tinggi. Kami berjuang untuk memenuhi tanggungjawab terhadap anak bangsa. Bagaimanapun, kami tidak menolak kemungkinan Raihan akan dibubarkan jika keadaan sudah terdesak. Kami sayangkan Raihan, selama 13 tahun kami melalui onak duri bersama, tetapi masa depan juga penting buat kami.”

Selain Abu Bakar Md Yatim, Raihan juga dianggotai Che Amran Idris, Amran Ibrahim dan seorang anggota baru, Zulfadli Mustafa.

Che Amran berkata, mungkin ramai yang tidak mengetahui, mereka memperjuangkan lagu nasyid hingga merentas ke enam benua Amerika atas perbelanjaan sendiri selama ini. Mereka tidak pernah mendapat penajaan syarikat atau individu walaupun mereka membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

“Kami berbangga apabila kumpulan Raihan sering menjadi rujukan kumpulan nasyid luar. Kami terharu dengan sambutan yang diberikan ketika mengadakan konsert di Royal Albert Hall di London. Terdetik sedikit kekesalan di hati kerana kami tidak pernah mendapat sokongan mana-mana pihak, sedangkan Raihan ke luar negara atas tiket mempromosikan seni dan budaya. Kami cuba mendapatkan penajaan badan korporat, kementerian mahupun individu, tetapi usaha dilakukan dipandang sepi. Apabila sebut saja nasyid, tiada yang berminat untuk menjalinkan kerjasama.

“Kami hairan kalau orang luar begitu menghargai bakat dan usaha anak muda empat orang ini sehingga mereka sanggup menganjurkan konsert dan mengaturkan promosi tetapi masyarakat kita tak nampak apa yang kami lakukan. Kami banyak berkorban demi mempertahankan nama Raihan tetapi kalau usaha kami menemui jalan buntu, nama Raihan mungkin akan berkubur begitu saja,” katanya.

Terbaru, Raihan bergabung dengan Rabbani, Hijjaz dan kumpulan nasyid Indonesia, Shoutul Harokah muncul dalam Konsert Antara Dunia di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor pada Sabtu, 1 Ogos ini, jam 8 malam. Konsert itu bakal mencipta sejarah yang tersendiri apabila menampilkan konsep penceritaan lima alam iaitu alam roh, kandungan, kelahiran, barzakh dan akhirat.

Sempena konsert itu, karnival jualan akan turut diadakan untuk selama tiga hari bermula 31 Julai ini, dibuka seawal jam 9 pagi hingga 12 tengah malam, selain pertandingan nasyid antara institusi pengajian tempatan dan sukaneka kanak-kanak, jam 10 pagi pada 1 Ogos ini.

Mereka yang ingin menyaksikan konsert boleh mendapatkan tiket serendah RM5 untuk kanak-kanak dan RM10 (dewasa).

Tiket VIP pula berharga RM50 dan untuk pakej keluarga yang membabitkan dua tempat duduk VIP dan empat kanak-kanak boleh didapati dengan harga RM100. Untuk keterangan lanjut bolehlah menghubungi talian 603-6272 1225 atau 013-628 8614 atau layari laman web, www.rabbani.com.my.

Mr. Mun Ada : Peminat setia Raihan!

Monday, July 20, 2009

'Duo' Munada di IPIS serta Kisah kejayaan.


Assalamualaikum. Apa khabar semua? harap-harapnya kita masih lagi berada dalam 2 nikmat terbesar yang dikurniakan ALLAH iaitu nikmat Iman dan ISlam. Kalau anda perasan, layout blog ni sudah berubah sesuai la dengan perubahan umur anggota Munada yang sudah menginjak ke angka 20! Dah tua rupanyer..hehe..Dari awal penubuhan Munada, sekarang sudah masuk tahun 6. Banyak pencapaian yang sudah dikecapi dan masih banyak juga yang sedang dikejari.

Ok, kali ini saya ingin berceritakan tentang kejayaan Fhakarie (Munada Crew) yang berjaya membimbing sekolah Tahfiz Ummah Bangi 3 menjuarai pertandingan Nasyid di Kejohanan Ihtifal tahunan Tahfiz Ummah yang disertai oleh 12 buah sekolah di sekitar kawasan tersebut. Lebih membanggakan, ia merupakan kemenangan pertama mereka dalam pertandingan nasyid sejak penubuhan sekolah tersebut. Hebat bukan? Jadi, tidak mustahil Fhakarie Munada menerima ucapan tahniah yang tidak putus-putus dari sekolah terbabit. Saya yang turut berada di situ ketika pertandingan juga tidak terlepas dari tempias kejayaan mereka.




Berbekalkan semangat dan kesungguhan anggota nasyid sekolah tersebut, saya yakin dan percaya bahawa mereka boleh pergi jauh walaupun masih di bangku sekolah. Asalkan mereka masih terus berminat dengan genre Nasyid. Sekalung penghargaan juga kami ucapkan kepada pihak pengurusan sekolah terbabit kerana memberi kepercayaan kepada anggota Munada untuk mengajar nasyid. Lepas ni boleh jemput lagi.Hehe. Munada sendiri mengucapkan syabas kepada Fhakarie coz mengharumkan nama group ni.(aku tak pernah pun mengajar sampai jadi Johan! hehe..) OK Bravo!

Ha! Ketika kejohanan itu berlangsung, kami diberi penghormatan untuk membuat persembahan. Walaupun jemputan tersebut hadir 2 hari sebelum pertandingan, dan saya pula tidak boleh beri kata putus sehari sebelum persembahan tersebut, namun dengan izin Allah saya akhirnya menerima jemputan tersebut selepas beberapa urusan dapat saya selesaikan lebih awal.


Tetapi, kali ini Munada tampil secara ber'duo' (akim & fhakarie) selepas anggota lain mempunyai komitmen yang lebih penting. Tapi sebelum itu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada tenaga pengajar sekolah tahfiz serta dua orang adik cilik yang sudi menjadi 'back-up' kami di atas pentas. Terima kasih!



Sebanyak dua lagu yang kami bawakan iaitu "pagi yang terindah" dan "Teman Sejati" versi Minus One. Syukur alhamdulillah, kami tak sangka sambutan yang menggalakkan dan penganjur turut berpuas hati walaupn saya sendiri tak berpuas hati dengan suara saya pd persembahan kali ini. Apa-apa pun, yang penting ialah para pendengar.

Kejohanan dan persembahan kami di adakan di Dewan Besar Institut Perguruan Islam Selangor. Kami berharap agar pihak penganjur sudi menjemput kami (Munada Crew) untuk events yang lain pula. Sekian saja coretan kali ni..Salam.

Friday, July 10, 2009

Pandangan semasa industri nasyid Malaysia.


salah satu usaha yang baik bagi mencungkil bakat kump.nasyid underground di Malaysia

Assalamualaikum, sudah sekian lama rasanya blog ini tidak 'disentuh' oleh saya. Hasrat di hati untuk memindahkan pengurusan blog ini kepada Azizan Munada tampak sedikit bercelaru kerana menghadapi beberapa masalah teknikal. Bagaimanapun,saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pembaca dan rakan yang tidak jemu-jemu 'berkunjung' ke blog ini walaupun sudah lama tidak di 'update'.

Baiklah, kali ini saya cuba untuk mengunjurkan beberapa pandangan semasa tentang industri nasyid tanah air. Sejak kebelakangan ini, saya melihat bahawa pencapaian industri nasyid agak 'merosot' dan ketinggalan. Kemunculan artis-artis baru nasyid sekarang ini dilihat seperti tidak memberi sebarang kesan positif kepada perkembangan industri nasyid di Malaysia. Manakan tidak, hampir-hampir 80% kumpulan-kumpulan nasyid baru yang muncul dengan album tidak kita kenali! Dan mungkin tidak tahu langsung!

Radio IKIM mungkin dilihat sebagai medium UTAMA mereka memperkenalkan kumpulan masing-masing. Kita tidak boleh menafikan sumbangan IKIM dalam memartabatkan nasyid di Malaysia namun kumpulan2 baru tersebut perlulah mengambil inisiatif lain bagi memperkenalkan kumpulan mereka seperti mewujudkan blog,laman web kumpulan, dan sebagainya yang difikirkan bersesuaian.

Kita mungkin boleh menuding jari kepada media massa yang sering 'menganak tirikan' kumpulan-kumpulan nasyid, tetapi saya lebih berkenan untuk menuding jari kepada kumpulan tersebut. Ini kerana amat Banyak kumpulan nasyid baru tidak mempunyai ''sesuatu yang istimewa untuk diketengahkan''. Jadi, bagi media..mengeluarkan sesuatu berita tentang sesuatu yang 'kurang bernilai' merupakan satu kerugian pada mereka.

Nasihat saya, kepada artis2 nasyid baru..Anda perlu memikirkan sesuatu di 'luar kotak' supaya kumpulan anda ada value yg tersendiri. Usah bicara tentang Raihan,Hijjaz, Rabbani, Brothers, Mirwana, In-team, (dan ada lagi beberapa kump. nasyid lain yg tidak disebutkan) yang berjaya menaikkan reputasi mereka bukan kerana menjadi perhatian media sebaliknya 'keazaman serta kegigihan dalam memartabatkan industri nasyid tanah air'.. Kalau kumpulan anda nasyid untuk glamour, jangan haraplah untuk berjaya!

Akhir kata, kepada kumpulan nasyid yang ikhlas berdakwah melalui medium ini, saya mendoakan agar kumpulan anda berjaya ke peringkat yang lebih tinggi. Semoga mendapat ganjaran di akhirat kelak. Minta maaf jika pandangan saya ini agak 'emosional dan membias', tetapi sebelum menuduh saya seperti itu, lebih baik anda melihatnya dari sudut positif. Sekian....